Pengakuan - Aku HIPOKRIT


Kita mungkin pernah berhadapan dengan situasi di mana terpaksa menjadi HIPOKRIT kepada ibu bapa, keluarga, rakan taulan serta orang yang kita sayangi yang mana akhirnya mengundang ketidakselesaan dalam kehidupan. Mengapa harus ini terjadi ? Aku tanya aku jawab berdasarkan pengalaman dan pemerhatian. Antaranya untuk menutup kelemahan diri, untuk menggembirakan seseorang, untuk memenuhi keinginan nafsu, supaya kelihatan baik di mata orang lain dan biasanya adalah untuk menjaga hati orang lain supaya tidak terluka. Perlukah sifat ini ada dalam diri Kita?

Aku juga tidak terlepas dari menjadi seorang hipokrit kerana terpaksa menjadi orang lain yang bukan aku pada waktu itu untuk menghiburkan orang lain. Contohnya ketika aku ke udara bersama dengan rakan pendengar di UFM kadangkala walaupun dalam keadaan sedih, aku cuba bergembira untuk menggembirakan orang lain pada ketika itu. Menjadi satu kesalahankah ini?

Bagi aku hipokrit ialah apabila seseorang yang terpaksa menjadi orang lain yang bukan dirinya atau pendek kata talam dua muka dan seorang yang berpura-pura baik padahal di belakang hanya Tuhan saja yang tahu. Bagi mereka yang mempunyai alasan berpura-pura baik untuk menjaga hati orang lain tetapi sebenarnya dalam masa yang sama tidak menyukai orang itu ada baiknya berterus terang saja. Jangan sampai keburukan terbongkar akibatnya memakan diri.

Akhir sekali sebagai manusia kita tidak akan terlepas dari melakukan kesalahan dan kesilapan tetapi apabila menyedarinya segeralah mohon kemaafan dan jangan mengulanginya kepada orang lain. Kalau sudah minta maaf dan buat perkara yang sama juga sudah sah kamu memang seorang HIPOKRIT.

P/S : Apa yang aku kongsikan hari ini adalah untuk renungan bersama. Jika selepas ini orang cakap aku hipokrit aku terima jak... Hehehe

Selamat Pengantin Baru Datu Badd - Gadis Kudat menjadi pilihan

Gambar adalah ihsan daripada Denny Tsen Shine Photo Video

Selamat Pengantin baru saya ucapkan kepada Datu Badd yang merupakan salah seorang bekas cikgu saya di Sekolah Rendah S.K Sikuati. Kini mengajar di S.M.K Abdul Rahim. Beliau juga adalah seorang komposer Sabahan di mana karyanya pernah dinyanyikan oleh Kumpulan Spring, Farawahida, Azharina Azhar, Naseer Wahab, Amy Mastura dan beberapa artis lagi yang saya tidak ingat selain sebuah lagu Sabahan yang popular dinyanyikan oleh S.Welly iaitu lagu yang berjudul "Gadis Kudat".

Majlis persandingannya bersama Fadilla berlangsung dalam suasana yang cukup meriah pada 28 November 2010 (Ahad) dengan kehadiran saudara mara, rakan taulan serta saya juga ada melihat Asmin Mudin (Komposer Sabahan yang tidak asing lagi) dan Awang Karim (Penggiat teater/Penyanyi/Pelakon/Pengarah telemovie) di majlis tersebut.

Semoga ikatan yang suci akan berkekalan hingga ke akhir hayat.



Lagu dan Lirik adalah sepenuhnya ciptaan Datu Badd.


P/S Bilalah giliran aku mau naik pelamin ni. Macam mau mencari orang Kudat juga ni.. Hehe

Harga Seorang Wanita - Berapa?

Sekadar gambar hiasan

Maaf aku pinta terlebih dahulu kepada semua wanita di luar sana kerana bukanlah aku berniat untuk mejatuhkan atau merendahkan kaum wanita tetapi apa yang aku kongsikan ini adalah sekadar untuk renungan bersama.

Mungkin agak keterlaluan jika aku bertanya, berapakah nilai seorang wanita pada kacamata kamu? Bagaimana sebenarnya meletakkan nilai pada seorang wanita ? Adakah wanita yang diceraikan suami itu nilainya akan jatuh atau adakah seorang wanita yang baru diputuskan oleh kekasihnya juga nilainya juga akan berkurangan? Inilah antara tanda tanya yang timbul ketika sang jejaka memilih untuk mencari pasangan hidup.

Sifat semulajadi manusia yang akan berubah seiring dengan perkembangan semasa melalui persekitaran, pemikiran, pengalaman dan kemajuan masa kini membuatkan kita kadangkala terkeliru untuk mentafsir nilai seorang wanita.

Berfikir aku seketika mengenai hal ini dan akhirnya aku membuat kesimpulan bahawa nilai seorang wanita adalah terletak pada akhlaknya yang mulia. Akhlak yang baik membentuk keperibadian diri yang tinggi. Sebahagian wanita beranggapan bahawa kecantikan wajah dan layanan "first class" mereka terhadap lelaki adalah cukup untuk memberikan gambaran betapa mereka adalah calon untuk menjadi isteri kepada seorang lelaki dan meletakkan nilai dirinya di situ.

Sabda Rasulullah SAW ketika ditanya oleh sahabat mengenai ciri wanita idaman "Yang menyenangkannya ketika dilihat. Wanita yang mentaatinya ketika disuruh. wanita yang tidak mengkhianatinya (tiada curang). Dan, wanita yang tidak mengkhianati hartanya pada perkara yang dibenci " (Riwayat Abu Daud dan Nasaii)

Dalam hadis lain Rasulullah saw bersabda: "Sebaik-baik wanita ialah sesiapa yang dapat menggembirakanmu apabila dilihat. Mentaatimu, apabila disuruh. Menjaga dirinya dan hartamu apabila kamu tiada." (Riwayat A-Tabrani)


Sebuah lagu khas untuk wanita

Polis Kudat Saman - Tetap Saman


Ini merupakan pengalaman kedua aku disaman dan kedua-duanya di daerah Kudat tetapi kali ini oleh Polis Peronda (menaiki motorsikal) berbanding pada kali pertama disaman oleh Polis Trafik. Ketika kembali dari kedai membeli barang yang tidak sampai 5 minit, aku melihat seorang anggota Polis sedang menulis saman betul-betul depan kereta aku. Dengan hati yang sayu aku pun mendekatinya yang kebetulan baru selesai menulis saman dengan tenang aku pun meminta surat saman sambil mengucapkan terima kasih sebelum beredar dari situ.

Jam ketika itu menunjukkan 8.45 malam. Aku disaman atas kesalahan menghalang lalulintas dan memang salah aku sebab "parking" di luar kotak belakang sebuah kereta lagi walaupun sebenarnya pada waktu begini boleh dikira kereta yang lalu lalang di kawasan ini. Salah tetap salah dan ini aku jadikan pengalaman untuk lebih berhati-hati di masa akan datang.

P/S : Jadikan cerita ini sebagai ikhtibar. Tidak kira masa, tempat dan keadaan kalau memang Polis mahu saman tetap akan saman juga.

Hujan turun menjelang Subuh


Kusangkakan cuaca yang baik pada malam tadi akan berkekalan ke siang hari tetapi sangkaanku meleset apabila HUJAN turun menjelang Subuh. Sememangnya itu adalah satu rahmat pada pagi ini tetapi bagaimana pula dengan nasib pakaian yang aku basuh malam tadi? Jika aku keluar pasti aku akan basah sama seperti pakaianku. Aku hanya mampu menjeling ke arah jemuran yang berada di sebalik tingkap dan membiarkan ia terus basah kerana aku percaya hujan juga akan berhenti dan matahari akan memberikan sinarannya.

Ilham pun timbul untuk mencatatkan sesuatu di sini bila berfikir mengenai hujan tadi. Bersyukurlah kerana hujan yang turun tadi sebenarnya banyak membantu untuk kita meneruskan kehidupan di muka bumi ini kerana dengan adanya hujan maka tumbuhan akan menjadi subur, bekalan air akan bertambah dan sebagainya.

Keadaan ini berhubungkait dalam kita menempuh kehidupan di mana apabila kita disakiti, dikhianati dan didustai pasti ada hikmah di sebalik perkara yang berlaku. Perkara utama yang harus dilakukan adalah dengan mendekati Allah S.W.T memohon keredhaannya dan bersabar menghadapi ujianNya. Memang berat pada mulanya tetapi kena kuat dan tabah.

Bersyukur pada orang yang tak mengendahkanmu kerana dia yang memupukmu bersabar, Bersyukur pada orang yang menjatuhkanmu, kerana dia yang memperhebatkan kemampuanmu, Bersyukur pada orang yang menyeksamu mu kerana dia yang menguji Kesabaran dan ketabahan mu.

Akhirnya ketika jam di laptopku menunjukkan 6:36 minit pagi, hujan sudah berhenti dan kelihatan matahari mulai menerangi alam semesta dan burung juga mula berkicauan. Bersyukur kepada Allah S.W.T. kerana pada hari ini masih diberi peluang untuk memperbaiki kelemahan diri.

P/S : Harap-harap hujan jangan turun dulu lepas ini kalau tidak alamat tidak kering pakaianku..

Portal Sabahan - 1sabah.net

Portal 1Sabah dibangunkan oleh sekumpulan Anak Jati Sabah yang bertujuan untuk membuka minda melalui perkongsian INFO, ILMU dan BUDAYA SEMALAYSIA yang mana sebenarnya ia terbuka bukan sahaja untuk anak-anak Sabahan tetapi kepada semua yang ingin mengenali negeri yang mendapat jolokan sebagai negeri di Bawah Bayu.

1Sabah bukanlah sesuatu yang baru kerana sehingga kini mempunyai ahli berdaftar melebihi 1000 orang tetapi disebabkan kemuculan Facebook pada ketika itu menyebabkan 1Sabah sepi seketika. Banyak perkongsian ilmu di ruangan forum yang boleh dijadikan amalan dalam kehidupan seharian yang kadangkala terlepas pandang. Menyedari akan hal ini para ADMIN di 1Sabah berusaha untuk mengajak kembali rakan-rakan untuk bersama menceriakan 1Sabah.

Selain mendapatkan info/Ilmu di ruangan forum 1Sabah, rakan-rakan juga boleh bersembang di chatroom yang disediakan sambil mendengarkan Radio Online Sabahan Utara.FM yang merupakan Radio Penyiar kepada aktiviti yang berlaku di sana. Keadaan ini boleh mendatangkan ketenangan selain boleh mendapatkan lebih ramai kenalan. Selamat datang ke Portal 1Sabah kepada yang baru mengetahui dah jangan lupa mendaftar di sana. Kepada rakan-rakan lama selamat kembali, bertemu sekali lagi di sana.. (^_^).

P/S - Banyak kenangan pahit dan manis di portal 1Sabah...



Aishiteru - Bahasa pilihan

Aishiteru - Bahasa pilihan

Bila dialih bahasa ke bahasa melayu membawa maksud aku cinta padamu (inilah yang kawan-kawan cakap) sebab saya sendiri pun tidak fasih berbahasa Jepun... Hehehe... Apa yang ingin saya kongsikan di sini sebenarnya adalah sebuah lagu dari negara seberang iaitu kumpulan Zivilia di mana tajuk lagunya adalah aishiteru (menunggu). Lagu ini adalah antara lagu yang popular di UFM ketika ini.

Sebenarnya kali pertama saya mendengar lagu ini adalah melalui permintaan salah seorang rakan pendengar di UFM dan bila mendengar sekali, teringin mahu dengar lagi. Akhirnya jadilah saya salah seorang daripada peminat lagu ini... Hihihi...

Ada kawan cakap melodi lagu ini yang membuatkannya seronok tetapi ada kawan cakap lagi pasal lirik lagu ini. Nah.. Saya berada di tengah-tengah dalam hal ini.. Hahaha...



Ni labah kunu lagu dia. Bah.. Pelan-pelan saja layan ah..

Mengapa harus Berbohong

sekadar gambar hiasan


Tidak dapat dinafikan dalam kehidupan ini kita pernah berbohong sama ada untuk kebaikan, kejahatan, kepentingan diri dan sebagainya begitu juga dengan saya memang pernah berbohong sama ada dalam keadaan sedar atau tidak. Tetapi apabila menyedari akan perbuatan yang salah seharusnya kita mencari jalan untuk membetulkan kesilapan dan memohon keampunan kepada Allah S.W.T atas perbuatan itu. Bukan mudah untuk berbuat demikian kerana menyedari selepas itu akan dipandang serong tetapi inilah kenyataan hidup yang harus ditempuh jika mahupun kehidupan yang lebih sempurna.

Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga peribahasa melayu popular yang seringkali dikaitkan apabila perbuatan buruk terbongkar. Mendiamkan diri selepas itu mungkin salah satu inisiatif jangka pendek kerana sampai bila harus bersembunyi di sebalik topeng yang tidak akan kekal untuk selamanya.

Berbohong kepada ibubapa, sahabat, kekasih dan siapa sahaja boleh mengundang kepuasan dalam diri apabila mereka tidak mengetahui hal sebenar tetapi INGAT kamu tidak dapat berbohong kepada Allah S.W.T kerana dia Maha Mengetahui.

P/S Mohonlah kemaafan kepada ibubapa, rakan taulan dan kepada semua orang yang telah kamu sakiti melalui kata-kata kamu yang berdusta.

Berkenalan dengan Fairuz Selamat

Siapa yang tidak mengenali dengan EX-Vokalis Kumpulan Q-face iaitu Fairuz Selamat dengan lagu popular mereka suatu masa dulu IZINKANLAH dan CINTA TAK SEHALUAN (Versi baru). Selepas jodoh bersama dengan kumpulan Q-Face hanya sampai di pertengahan tahun 2001, Fairuz tampil semula pada tahun 2002 dengan sebuah Kumpulan iaitu ANTZ di bawah label FMC. Lagu-lagu seperti CINTA REMAJA (duet bersama dengan Elyana), SEBATI dan LYDIA menjadi siulan remaja ketika itu dan sering diputarkan di corong-corong radio. Walaubagaimanapun disebabkan kesibukan masing-masing pada masa itu antaranya Fairuz juga diterima menyambung pelajaran, akhirnya pada bulan Mac, 2008 kontrak tamat dan mereka juga tidak berniat untuk menyambungnya.

Kini Fairuz yang dilahirkan di Batu Pahat pada 23 Mei 1985 mencuba untuk sekian kalinya tetapi kali ini tampil untuk projek Solo pada tahun 2008 dan tahun 2009 adalah merupakan langkah awal beliau untuk mempromosikan nama Fairuz dan lagu Fairuz. Akhirnya beberapa single yang mempertaruhkan lagu baru seperti KU UNDUR CINTA, PALSU dan ALAHAI SAYANG.

Pelbagai halangan dan rintangan yang terpaksa fairuz lalui untuk kekal bertahan namun berkat sokongan dan doa orang sekeliling Fairuz terus mencuba dan kali ini Fairuz bersendirian. Bertitik tolak dengan usaha ini, fairuz sememangnya berterima kasih yang teramat sangat dengan pihak media, elektronik dan cetak, kerana terus menyokong fairuz untuk terus berkarya. Tidak kira sokongan secara lansung atau tidak. Terima kasih dan fairuz memerlukan sokongan itu berterusan. Kepada peminat Fairuz yang mengikuti perkembangan fairuz sejak inilah hadiah kepada anda semua.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Fairuz Selamat bolehlah menghubungi RAMLEEOSMAN ANTZ, tambah beliau sebagai rakan di Facebook. Untuk mendengar lagu Ku Undur Cinta dan Palsu single terbaru daripada Fairuz bolehlah membuat permintaan lagu di Radio Online Sabahan http://utarafm.net dan http://sapsaifm.net.




Selamat Hari Raya Aidil Adha


Maaf dipinta atas ketelanjuran bahasa dan semua kesalahan sama ada yang disengajakan atau tidak. Semoga kita semua akan menjadi lebih baik.

Blog Archive

Popular Posts

Popular Posts